Friday, 13 November 2015

Masakan Siapa Yang Paling Sedap?

Masakan siapa yang paling sedap? Emak, Isteri atau mamak? Mungkin kalau ditanyakan kepada sepuluh orang, pasti sembilan yang menjawab tentulah masakan emak.

Bagi diri saya, pengalaman merasa makanan seorang ibu hanya dapat dinikmati sehingga saya berusia 10 tahun lebih sahaja. Selepas itu beliau telah dijemput oleh Pencipta-Nya ketika menunaikan fardhu Haji di Mekah. Walaupun begitu, sejak mula tahu makan, saya juga merasakan bahawa masakan emak adalah yang paling sedap dan lazat di dunia ini. Saya juga masih ingat ketika sekolah darjah empat, emak masih menyuapkan saya makan!

Ada juga masakan emak yang saya rindui sehingga pada saat saya menulis ini iaitu hidangan Rendang Tali Guni dengan Acar Buah. Saya masih tercium-cium baunya dan merasa kecur bila membayangkannya sehingga hari ini. Tak tahulah kalau abah dan kedua abang saya masih ingat!

Kini saya sudahpun berusia 43 tahun, namun saya belum pernah lagi dapat merasa kedua-dua hidangan tersebut yang betul-betul sedap macam mak buat. Saya rasa mungkin sehingga nanti saya menghembuskan nafas terakhir pun belum tentu dapat merasai yg serupa walaupun dari tangan isteri saya sendiri bahkan dari tukang-tukang masak tersohor seperti Chef Wan pun belum tau.

Apabila emak meninggal dunia, hidup saya terkontang-kanting mencari-cari makanan yang serupa dengan apa yang emak masak tapi memang hampa sebab tak boleh jumpa. Duduk di bandar Pelabuhan Kelang pada waktu itu, yang penuh dengan suka duka lagi carca marba ialah makan apa sahaja yang ada terutama hidangan lauk mamak. Kalau sehari dua tidak mengapa, ini boleh dikatakan hampir bertahun menikmati hidangan yang serupa daripada kena berak-berak terus jadi lali/biasa pada lauk dan makanan mamak yang lain.

Terasa lucu juga daripada hidangan emak terus tukar hidangan mamak! Sehingga kini, rasanya kalau tak pekena teh tarik dengan roti canai ataupun nasi putih lauk kari ikan/daging bersama terung dalam tempoh seminggu boleh sasau dan rasa hidup tak sempurna.

Apabila saya mengakhiri zaman bujang, saya mula makan masakan emak mertua saya pula. Orang Johor ni suka masak yang pedas-pedas seperti Gulai, Asam Pedas dan sambal tak boleh dipisahkan. Tapi yang tak sangka dia pun masak kari ikan macam mamak. Alhamdulillah! Perlahan-lahan isteri saya mula memasak ketika kami telah pindah ke rumah sendiri. Memanglah tidak boleh lawan masakan emak dia sendiri dan juga arwah emak saya, namun perlahan-lahan juga saya mula mencintai masakan isteri saya. Tetapi dia isteri saya, dia akan memasak seikhlas hati untuk saya.

Sejak hari pertama pada tanggal 22hb November, 1997 saya tidur sebantal dengan Cik Nor masakannya dah boleh tahan, kini usia perkahwinan kami menghampiri 18 tahun! masakannya sudah sebati dalam jiwa saya. Beberapa masakannya yang saya rasakan tinggi juga 'ummph' adalah seperti Masak Lemak Nenas campur ikan sepat asin, Masak kurma' daging/ayam, Masak kicap daging (saya boleh makan 3 hari straight), Asam Rebus dan Masak Pindang Ikan Tenggiri tak ketinggalan Ungkep Daging/Ayam.

Kini saya akur sesedap manapun masakan orang lain, air tangan isteri jauh lebih baik daripada sesiapapun. Agaknya inilah yang abah serta abang-abangku rasa dari isteri masing-masing. Anda pula bagaimana?



EmoticonEmoticon

Technology