Wednesday, 18 November 2015

Medan Steamboat Luton Van Dataran Bandaraya Johor Bahru

Rata-rata ramai Warga Johor Bahru dan berhampiran tidak terkecuali juga pengunjung dari luar Johor dan Rakyat Singapura kerap mengunjungi Medan Steamboat Luton Van, Dataran Bandaraya Johor Bahru. Bagi diri aku dan keluarga, kami juga agak gemar berkunjung ke sana dalam anggaran sekali bagi setiap bulan. Bukan lah apa, sebenarnya terdapat berbagai jenis pilihan makanan dijual disana. Antara menu kegemaran pengunjung sudah tentu makanan steamboat yang dihidangkan bersama kuah kacang dan sambal manakala yang lain seperti Mee Sup, Bakso, Rojak Petis, Tauhu/Char kue Bakar, Laksa Penang, Mee Rebus, Mee Goreng Kerang, Otak-Otak, Kacang Rebus Burger dan lain-lain lagi yang disediakan oleh berbelas-belas pengusaha Van Luton.

Sebenarnya selain daripada terdapat pelbagai pilihan makanan, kemungkinan daya tarikan yang lain ialah suasana yang agak 'happening' disebabkan terletak betul-betul bersebelahan dengan Dataran Bandaraya Johor Bahru yang mempunyai pengunjung yang ramai terutama pada hari hujung minggu dan cuti umum.

Bercerita tentang makan di Medan Van Luton ini, satu perkara yang paling aku tidak gemari setiap kali kunjungan adalah SIKAP para peniaga di sana yang pada pendapat aku tidak saling bekerjasama di antara sesama sendiri dan boleh digambarkan sebagai suatu komuniti perniagaan yang tamak, iri hati dan pentingkan diri sendiri tanpa menghiraukan perasaan pengunjung. Seolah-olah mereka ini tidak mempercayai tentang soal rezeki yang telah ditentukan Allah SWT terhadap setiap peniaga. Melalui beberapa kali pengalaman aku makan disana ialah apabila kita telah duduk di satu meja, pelayan akan mengambil pesanan berdasarkan menu yang ada di situ atau peniaga disebelah sahaja. Kalau kita teragak nak mencuba menu peniaga yang lain maka permintaan kita tidak dilayan bahkan disuruh membuat pesanan sendiri. Kadang-kadang yang menyakitkan hati kalau mereka berkata: "Bang, takkan makan kat tempat saya tak nak order apa-apa!" Bila pula kita pergi membuat pesanan sendiri, peniaga berkenaan pula akan bertanyakan dimana meja yang kita duduk. Kalau agak jauh dari 'Wilayahnya' dengan senang mereka akan berkata: "Bang, saya tak nak hantarlah, nanti orang sana marah. Kalau abang nak, makan kat sinilah."

Mereka perlu faham kadangkala bukan kita taknak makan disitu, tetapi kalau pada hari-hari hujung minggu kekosongan meja agak terhad dan kami terpaksa duduk dimana-mana aje yang ada kosong walaupun tempat tersebut bukan pilihan yang digemari. Kami para 'customer' bukan begitu cerewet namun peniaga perlu juga menghormati pilihan kami. Masing-masing mempunyai selera yang berlainan dan sudah pastinya kualiti menjadi agenda utama. Tak salah rasanya kalau mereka saling bantu-membantu dalam membuat pesanan untuk peniaga yang lain kerana sudah pastinya ianya akan memberi lebih kemudahan kepada para pengunjung.

Saya tidak mengatakan kesemua peniaga mempunyai sikap yang kurang baik, tetapi sekiranya kesemua mereka mengamalkan etika perniagaan yang baik itu adalah yang lebih utama. Tidak dinafikan majoriti para peniaga menyediakan menu yang hampir serupa dan ini membuatkan persaingan sesama sendiri berlaku dengan sengit. Bagaimanapun diakhirnya, peniaga yang sentiasa menyediakan dan menjaga kualiti makanan akan menjadi pilihan utama pengunjung pada kunjungan mereka yang seterusnya dan pada masa akan datang. Bukan hendak mengata, tetapi memang terdapat peniaga yang tidak menjaga kualiti dengan menjual bahan bahan steamboat yang telah masam dan hampir rosak dan ini boleh menjejaskan jualan. Mungkin bagi yang dah 'try' sekali akan beralih mengunjungi peniaga yang lain pada kunjungan akan datang. Ingatlah...pilihan yang terbaik sememangnya sentiasa ada.

Saya mula mengunjungi medan Van Luton ini sejak hampir 20 tahun yang lalu dimana ketika itu mereka menjalankan perniagaan di Pantai Lido sehinggalah kini dialihkan ke Dataran Bandaraya. Dalam ramai-ramai peniaga saya boleh angkat tangan tanda 'respect' kat brother kembar yang menjual burger, kacang tanah rebus, jagung cawan dan kini ada tambahan jual mee goreng kerang, kerang rebus dan pelbagai minuman. Mereka senantiasa menjaga kualiti makanan dan yang paling penting memberikan layanan mesra, sedia bekerjasama mengambil pesanan untuk peniaga lain walaupun pada masa tersebut kadangkala kami cuma order air tapi pesan makanan kat tempat lain. Tahniah! Semoga perniagaan anda berterusan dan berkembang maju dan dirahmati oleh Allah SWT 


EmoticonEmoticon

Technology