Wednesday, 11 November 2015

Memberikan Cahaya Kehidupan

Pada suatu malam Siti Khadijah bermimpi, seolah-olah dia melihat matahari turun dari langit, kemudian masuk ke dalam rumahnya. Matahari tersebut memancarkan sinarnya keluar sehingga seluruh rumah-rumah yang ada di Kota Mekah memperolehi cahaya matahari itu.

Di saat terjaga dari tidurnya, dia pun menceritakan mimpinya itu kepada bapa saudaranya Waraqah bin Naufal yang pandai menafsirkan mimpi. Waraqah pun berkata: "Sesungguhnya seorang nabi akhir zaman akan menjadi pendampingmu." Siti Khadijah pun bertanya: "Wahai bapa saudara, nabi tersebut dari mana?" Bapa saudaranya menjawab: "Dari Mekah." Kemudian Khadijah bertanya lagi: "Dari kabilah apa, puak bani apa dan siapa namanya wahai bapa saudara?"

Bapa saudaranya menjawab: "Dia berasal dari kabilah Quraisy, suku Bani Hashim dan namanya Muhammad." Semenjak masa itu, Siti Khadijah selalu menunggu masa yang sangat dirinduinya tersebut.

Ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di rumah bapa saudaranya Abu Thalib, bapa saudaranya dan ibu saudaranya Athikah memperhatikan gerak-geri Nabi Muhammad SAW. Kemudian Abu Thalib berkata kepada Athikah:

"Muhammad sekarang telah menjadi pemuda yang dewasa, sedangkan kita tidak mempunyai biaya untuk menikahkannya." Athikah berkata : "Wahai Abu Thalib, bahawa orang kaya iaitu Siti Khadijah akan mengirimkan kafilah untuk berdagang ke Negeri Syam. Alangkah baiknya seandainya Muhammad memperolehi pekerjaan itu, kerana setiap orang yang pernah bekerja dengan Siti Khadijah diberkati Allah rezekinya."

Kemudian mereka membincangkan hal tersebut kepada Nabi Muhammad, maka Nabi Muhammad pun bersedia. Maka pergilah Athikah ke rumah Siti Khadijah untuk memohon pekerjaan untuk Nabi Muhammad.

Khadijah menyambut baik permohonan tersebut, kemudiaan dia berkata: "Wahai Athikah, sesungguhnya aku selalunya memberi upah pada setiap buruh sebanyak dua puluh dinar, namun untuk Muhammad aku akan memberikan upah padanya sebanyak lima puluh dinar."

Maka pulanglah Athikah dengan hati yang gembira lalu memberitahukan berita tersebut kepada Abu Thalib. Kemudian Abu Thalib berkata: "Wahai Muhammad, pergilah engkau ke rumah Siti Khadijah dan bekerjalah menurut yang disuruhnya."

Dengan hati yang pilu Nabi Muhammad pun pergi ke rumah Siti Khadijah, sehingga para malaikat di langit turut menangis kerana kasihan melihat Rasulullah. Di saat rombongan perniagaan ke Negeri Syam akan bertolak, maka Maisarah pemimpin kafilah itu berkata kepada Nabi Muhammad: "Wahai Muhammad, pakailah pakaian tebal, dan pakailah kopiah di kepalamu, kemudian peganglah tali kekang untamu, hadapkan ia ke Negeri Syam."

Nabi mengikuti apa yang disuruh oleh Maisarah tersebut, dalam perjalanan tersebut Allah SWT mengirimkan awan putih untuk menaungi di atas kepala Rasulullah SAW dari sinaran panas matahari. Sebelumnya Siti Khadijah juga telah berpesan baik kepada Maisarah agar ia memberikan pakaian yang paling baik kepada Muhammad serta memberikan kenderaan yang paling baik juga. Maisarah melaksanakan semua perintah Khadijah tersebut.

Dalam perjalanan itu, Rasulullah tertidur dengan nyenyak, padang pasir yang panas itu menjadi redup kerana awan sentiasa melindungi perjalanan mereka. Akhirnya mereka berehat di bawah pepohonan tamar. Di situ ada sebuah rumah ibadah dan seorang ahli kitab yang rajin beribadah.

Ahli kitab yang rajin beribadah tersebut keluar dari tempat ibadahnya di saat dia melihat ada kafilah berhenti, dia juga melihat segumpal awan melindungi mereka dari sinaran terik matahari. Kemudian dia berhasrat untuk mengajak mereka untuk singgah di tempatnya. Dia ingin mengetahui siapa yang telah mendapat kemuliaan ini.

Mereka semua pergi memenuhi undangan ahli kitab tadi kecuali Nabi Muhammad. Baginda menunggu barang-barang dagangan yang mereka bawa. Kemudian ahli kitab itu keluar lagi, namun dia masih melihat segumpalan awan menaungi tempat mereka meletakkan barang-barang. Lalu dia bertanya kepada mereka: "Apakah masih ada orang di tempat barang-barang itu?" Mereka menjawab: "Ya, seorang buruh yatim sebagai penjaga barang-barang tersebut."

Kemudian ahli kitab itu pun menemui Nabi Muhammad lalu dia menarik tangan baginda untuk sama-sama berehat di tempatnya. Ketika Rasulullah berjalan, maka ahli kitab itu melihat awan putih itupun bergerak mengikutinya, sampailah akhirnya awan tersebut berada di atas rumah ibadah ahli kitab itu.

Kemudian dia bertanya: "Wahai pemuda, dari negeri manakah engkau datang?". Nabi menjawab: "Dari Mekah." Dia bertanya lagi: " Dari suku mana dan kabilah mana engkau dilahirkan?" Nabi menjawab lagi: "Saya dilahirkan dari kabilah Quraisy dan suku Bani Hashim'" Dia bertanya lagi: "Siapakah namamu wahai pemuda?" Nabi menjawab: "Muhammad.". Setelah mendengar keterangan Rasulullah tersebut, maka ahli kitab itupun memeluk Nabi Muhammad dan mencium di antara kedua mata Rasulullah sambil mengucapkan: "Laailaa Ha Illallah Muhammad Rasulullah."

Kemudian ahli kitab itu berkata kepada Nabi: " Wahai Muhammad, tunjukkanlah kepadaku satu tanda lagi bukti kerasulanmu agar aku bertambah yakin dan jiwaku menjadi tenteram. Baginda bertanya: "Tanda apakah itu wahai ahli kitab?" Ahli kitab tersebut berkata: "Bukalah bajumu agar aku dapat melihat di antara dua punggungmu." Rasulullah lalu membuka bajunya, maka nampaklah oleh ahli kitab itu cop kenabian baginda.

Ahli kitab tersebut mencium cop tersebut dan berkata: "Wahai penghias hari kiamat, wahai pemberi syafaat terhadap umat, wahai yang tinggi keinginan, wahai penghapus kesusahan, wahai nabi pemberi rahmat." Kemudian dia pun menyatakan keislamannya dan beriman kepada Rasulullah.

Ketika rombongan mereka sampai di Negeri Syam, mereka pun menjual barang-barang dagangan mereka. Pada suatu masa, Nabi Muhammad, Abu Bakar dan Maisarah melhat orang yahudi sedang menyambut perayaan. Di saat sampai ke tempat ibadah orang Yahudi tersebut, Rasulullah masuk dan melihat lampu-lampu yang diikat dengan rantai. Tiba-tiba rantai-rantai itu menjadi putus semuanya sehingga orang-orang Yahudi di situ menjadi takut.

Kemudian mereka menanyakan hal tersebut kepada ahli agama mereka tentang peristiwa yang telah terjadi. Ahli agama mereka pun menjawab: "Kami membaca di dalam kitab Taurat suatu keterangan bahawa akan datang seorang nabi akhir zaman, apabila ia hadir pada hari raya orang-orang Yahudi maka akan terjadilah tanda-tanda seperti yang kamu lihat itu. Mungkin ketika ini nabi akhir zaman itu berada di tempat ini." Maka sekalian orang Yahudi tersebut akan mencari orang yang dimaksudkan oleh ahli agama mereka dan akan membunuh jika mereka menemukannya.

Ketika Maisarah dan Abu Bakar mendengar perbincangan di antara mereka, maka dia mengambil keputusan untuk segera kembali ke Kota Mekah. Setelah hampir dekat dengan kota Mekah iaitu lebih kurang berada pada jarak tujuh hari perjalanan, maka Maisarah ingin mengutus seorang untuk membawa berita tentang kepulangan mereka. Kemudian Maisarah berkata: "Wahai Muhammad, sekiranya aku mengutusmu untuk membawa khabar gembira kepada Siti Khadijah, apakah engkau sanggup?" Baginda menjawab: "Ya, saya sanggup menjalankannya."

Lalu Maisarah memberikan kepada Nabi Muhammad seekor unta, dan baginda pun menuju ke Kota Mekah sambil membawa sepucuk surat untuk Siti Khadijah. Isi surat tersebut antara lain menyebut: "Wahai wanita pemuka Quraisy, perniagaan kita pada tahun ini adalah perniagaan yang paling banyak memberikan keuntungan, melebihi pada tahun-tahun yang lalu."

Setelah Rasulullah menunggang untanya sehingga hilang daripada penglihatan mereka, maka Allah mewahyukan kepada Malaikat Jibrail menjaga di sebelah kanannya dan Malaikat Mikail di sebelah kirinya. Sementara itu awan putih tetap melindungi baginda daripada panasnya matahari. Rasulullah pun tertidur dengan nyenyak, ketika itu juga Allah SWT menyampaikannya ke Kota Mekah.

Dari rumah, Siti Khadijah telah melihat seorang penunggang unta yang dilindungi oleh awan putih di atas kepalanya. Dia berkata kepada hambanya: "Tahukah kamu siapa yang datang menuju ke rumahku in?" Salah seorang daripada mereka menjawab: "Orang itu mirip dengan Muhammad Al-Amin." Khadijah berkata: "Seandainya ia memang Muhammad Al-Amin, maka aku akan memerdekakan kamu kerana kedatangannya itu."

Akhirnya sampailah Rasulullah di pintu rumah Siti Khadijah. Siti Khadijah pun menyambut kedatangan Nabi Muhammad dengan gembira dengan memuliakan dan menghormati baginda. Kemudian dia berkata: "Aku berikan kepadamu unta tungganganmu itu serta segala yang menghiasinya."

Setelah baginda menyampaikan amanah yang dibawanya kepada Siti Khadijah, maka baginda pun pulang ke rumah bapa saudaranya. Tidak berapa lama setelah itu Siti Khadijah ingin menyampaikan hasratnya melalui ibu saudara Nabi Muhammad iaitu Athikah. Siti Khadijah berkata: "Wahai Athikah, sesungguhnya aku ingin menyerahkan jiwa ini kepadanya bila ia menerima aku sebagai isterinya, namun bila ia menolak, maka aku tidak akan kahwin lagi dengan siapa pun sehingga akhir hayatku."

Athikah bertanya: "Apakah bapa saudaramu Waraqah bin Naufal telah mengetahui kehendakmu ini?" Khadijah menjawab: "Belum wahai Athikah, namun katakan kepada abangmu Abu Thalib agar dia mengadakan jamuan, dengan mengundang bapa saudaraku Waraqah bin Naufal, kemudian lamarlah aku melaluinya." Maka pulanglah Athikah untuk memberitahukan kepada Abu Thalib tentang maksud baik Siti Khadijah tersebut.

Kemudian mereka mengadakan jamuan dan mengundang Waraqah bin Naufal serta pemuka-pemuka Quraisy lain. Abu Thalib pun melamar Siti Khadijah untuk anak saudaranya Muhammad melalui Waraqah bin Naufal. Waraqah bin Naufal menerima lamaran tersebut, namun berjanjikan akan membicarakannya dengan Siti Khadijah.

Setelah itu dia pergi ke rumah Siti Khadijah untuk meminta pendapatnya. Siti Khadijah berkata: "Wahai bapa saudara, bagaimana aku dapat menolak lamaran Muhammad, sedangkan dia mempunyai sifat amanah, terpelihara, sifat yang mulia dan berbudi luhur." Waraqah berkata: "Sesungguhnya Muhammad itu tidak mempunyai harta." Siti Khadijah pun menjawab: "Jika dia tidak mempunyai harta, aku mempunyai harta yang banyak, aku berikan hak kepadamu wahai bapa saudaraku, untuk mengahwinkan aku dengan Muhammad."

Kembali Waraqah bin Naufal pergi ke tempat Abu Thalib mengatakan tentang persetujuan Siti Khadijah. Maka pernikahan antara Nabi Muhammad dengan Siti Khadijah pun dilaksanakan.

Rasulullah mengajak Abu Bakar menemani baginda ke rumah Siti Khadijah. Abu Bakar membawakan baju buatan Mesir dan serban, kemudian dipakaikannya pada baginda. Maka berangkatlah Nabi Muhammad dan Abu Bakar menuju ke rumah Siti Khadijah.

Siti Khadijah menyuruh seratus hamba sahayanya untuk berdiri di sebelah kanan pintu rumahnya. Setiap seorang hamba sahaya membawa satu bekas yang berisikan berlian dan delima. Ketika Rasulullah SAW datang maka semua hamba sahaya tadi menaburkan isi bekas yang dipegangnya itu kepada Rasulullah. Masuklah Abu Bakar dan Nabi Muhammad dan dihidangkan dengan makanan yang lazat.

Setelah itu Abu Bakar pun minta izin untuk pulang ke rumahnya. Setelah itu, Khadijah pun berkata: "Wahai Muhammad, semua harta yang ku miliki baik yang diam maupun yang bergerak, kebun-kebun, istana, hamba sahaya lelaki dan perempuan semuanya aku berikan kepadamu." Demekianlah seperti janji Allah dalam Firman-Nya: "Kami temui engkau miskin, lalu Kami kayakan engkau."

Siti Khadijah hidup bersama Rasulullah SAW selama 24 tahun 5 bulan 8 hari. Di antaranya lima belas tahun sebelum turun wahyu dan selebihnya setelah turunnya wahyu. Umur Rasulullah SAW ketika berkahwin dengan Siti Khadijah adalah 25 tahun, sementara Khadijah 40 tahun.

Siti Khadijah melahirkan 7 orang anak melalui perkahwinannya dengan Rasulullah. Tiga orang putera iaitu Al-Qasim, Al-Thahir dan Al-Mutahir tetapi semuanya meninggal dunia diwaktu kecil. Dan empat orang puteri iaitu Fatimah, Zainab, Ruqqayah dan Umi Kulthum.

Fatimah dikahwinkan dengan Sayyidina Ali bin Abi Thalib, Zainab dengan Abil'ash bin Arrabii', Ummi Kulthum dengan Usman bin Affan. Setelah Ummi Kulthum meninggal dunia, Rasulullah mengahwinkan Ruqqayah dengan Usman bin Affan. Semua pernikahan itu terjadi pada hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment

Adbox