Thursday, 10 December 2015

Nikah Senyap di Thailand-Kaedah Penyelesaian atau Ancaman?

Pada hari ini kejadian pernikahan di Thailand tidak lagi dipandang sebagai suatu perkara yang pelik oleh masyarakat. Kita menganggap bahawa kaedah pernikahan secara senyap di Thailand adalah sebagai suatu jalan penyelesaian yang paling mudah untuk membina alam rumahtangga dengan pasangan yang dicintai tanpa perlu adanya penglibatan dari ahli keluarga kedua-dua pihak.

Tambahan pula peningkatan jumlah agensi yang wujud bagi menjalankan urusan pernikahan di Thailand dilihat sebagai suatu sumber perniagaan yang menguntungkan seiring dengan permintaan yang semakin meningkat di kalangan masyarakat negara ini. Masing-masing dengan tidak berasa malu membuat promosi dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi bagi menguatkan hujah masing-masing tentang betapa perlunya untuk melakukan pernikahan di Thailand.

Antara alasan-alasan yang mudah dan paling popular untuk menghalalkan cara bernikah di Thailand adalah seperti berikut;
  • Poligami tanpa kebenaran
  • Wali Enggan menikahkan
  • Untuk Menghalalkan Hubungan
  • Hamil Luar Nikah
Seperti mana yang kita ketahui setiap pasangan yang ingin berkahwin perlu menggunakan wali nasab atau wali hakim yang dilantik oleh Kerajaan di mana pernikahan itu berlangsung. Jika tidak, pernikahan tersebut adalah tidak sah. Bagaimanapun dari segi perundangan syarak, gugurnya/terlucutnya hak Wali Nasab adalah disebabkan oleh beberapa perkara di antaranya adalah ;
  • Tidak ada wali nasab langsung
  • Anak tidak sah taraf atau anak angkat
  • Wali yang tidak mencukupi syarat-syarat sah wali
  • Wali menunaikan Haji dan Umrah
  • Wali enggan menikahkan
  • Wali jauh lebih daripada 2 marhalah tetapi pernikahan dalam pengetahuan wali nasab
Pasangan yang ingin bernikah bebas menggunakan dan mengemukakan berbagai jenis alasan untuk menggugurkan hak seseorang Wali Nasab dengan memindahkan hak pernikahan kepada Wali Hakim. Persoalannya bagaimana pula kalau alasan yang diberikan itu adalah palsu semata-mata? Sudah tentu daripada segi perundangan dan hukum syarak perkahwinan tersebut adalah tidak sah serta batal dan mahkamah berhak untuk memisahkan kedua-dua pasangan tersebut.

Berbanding pada masa 10 tahun yang lalu, penggunaan kaedah bernikah di Thailand hanya terjadi kepada kalangan mereka yang ingin berpoligami tetapi tidak mendapat kebenaran juga tidak terkecuali kepada perempuan yang hamil luar nikah. Bagaimanapun kajian mendapati sejak akhir-akhir ini terdapat perubahan 'trend' pernikahan di Thailand dimana ianya menarik minat ratusan malahan mungkin ribuan pasangan muda dari negara ini memilih untuk bernikah secara senyap untuk tujuan suka-suka dengan menyembunyikan perkahwinan daripada pengetahuan ahli keluarga. Caranya sangat mudah hanya perlu berdaftar dengan mana-mana agensi yang menyediakan khidmat pernikahan di Thailand, menyediakan dokumen yang diperlukan, menyediakan sebab untuk menggugurkan hak Wali Nasab dengan memberikan alasan seperti di atas dan akhir sekali menyediakan wang perkhidmatan.

Memang pelik tapi ianya benar-benar berlaku! Sehingga kini saya masih tertanya-tanya kenapa perkara ini boleh berlaku. Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab, seharusnya kita harus membina perhubungan yang baik dengan keluarga bakal mertua terlebih dahulu. Bermula daripada Salam perkenalan, disusuli dengan menanya dan merisik seterusnya proses meminang. Pada pendapat peribadi saya, pada hari ini tidak perlulah kita follow adat melayu 100% tetapi penghormatan kepada ahli keluarga perempuan adalah perlu terutamanya kepada kedua ibubapanya memandangkan bapa perempuan merupakan seorang wali mujbir yang boleh mengenepikan hak-hak wali lain dalan hukum syarak. Mungkin wajar jika setelah beberapa kali dipujuk, wali mujbir atau wali nasab enggan untuk menikahkan pasangan, maka perlulah kita memohon perlucutan hak wali dengan memindahkan kepada wali hakim bagi menghalalkan perhubungan melalui pernikahan.

Tetapi bagaimana pula jika tiada perkenalan, tiada peminangan, tiada pujukan dan tiada diketahui oleh seorang pun ahli keluarga dari pihak perempuan, alih-alih kita dengar dan dibuktikan dengan dokumen telah terjadinya pernikahan diantara pasangan tersebut. Bukankan ini suatu ancaman dan penganiayaan terhadap keluarga perempuan tersebut? Bapa dinafikan hak sebagai Wali Mujbir, ibu yang mengandugkan dinafikan hak untuk mengetahui siapa jodoh anaknya, ahli keluarga dinafikan hak untuk mengetahui siapa ipar-duainya bahkan mendapat malu seolah-olah keluarga ini tidak merestui terhadap perhubungan ini sehingga perlunya bernikah di Thailand. Bagi pasangan ini, mereka beranggapan segala-gala yang berlaku adalah suatu perkara yang kecil sahaja, dah nikah, balik, kemudian daftar perkahwinan di Jabatan Agama Negeri, bayar denda, sijil keluar...settle semua perkara.

Beringatlah..walaupun mungkin di dunia ini segala-galanya boleh settle tetapi akhirnya di hari pembalasan nanti kamu akan dihadapkan dihadapan Allah SWT yang Maha Adil. Fikirkanlah bagaimana untuk menjawab persoalan tentang penafian kita terhadap hak Allah yang telah diberikan kepada wali yang berhak ke atas tiap-tiap wanita di muka bumi ini.


EmoticonEmoticon

Technology