Saturday, 9 April 2016

Apa itu Buasir? Tanda-tanda, Rawatan dan Amalan Baik Mengelakkan Penyakit

BuasirBUASIR akan menyebabkan individu terasa pedih sewaktu membuang air besar. Namun ada juga yang malu untuk berjumpa doktor walaupun setiap kali membuang air besar, darah mengalir keluar dari dubur. Apabila malu berjumpa doktor dan mendapat rawatan lanjut, sudah tentu penyakit dihidapi semakin melarat. Apabila rawatan ubat-ubatan tidak berkesan, pembedahan menjadi kaedah terakhir mengubati buasir.

Sebenarnya, setiap individu mempunyai buasir. Buasir tidak menimbulkan masalah kepada manusia, tetapi jika amalan pemakanan individu tidak seimbang, buasir boleh menjadi suatu penyakit yang serius. Sebahagian besar pengidap buasir terdiri daripada golongan pertengahan usia sama ada lelaki ataupun wanita. Bagi mereka yang sudah berusia, jika mereka mengalami tanda-tanda buasir, tidak semestinya mereka menghidap buasir kerana ada kemungkinan mereka mengalami barah dubur.

Sebahagian besar pengidap penyakit itu adalah wanita yang sering mengawal pengambilan makanan dan tidak gemar meminum banyak air. Wanita lebih terdedah kepada penyakit ini kerana mereka melaui proses kehamilan dan kelahiran. Ketika tiga bulan terakhir kehamilan, rahim dan bayi yang dikandungi semakin membesar sehingga menyebabkan saluran dubur terhimpit. Keadaan ini akan menyulitkan pengaliran darah, manakala sewaktu proses kelahiran, wanita terpaksa meneran bagi membolehkan bayi keluar.

Punca yang dikenal pasti menyebabkan buasir ialah tisu sekeliling dubur menjadi lembut atau lemah sehingga menyebabkan buasir terkeluar. Keadaan ini disebabkan oleh faktor usia yang semakin meningkat. Namun punca utama ialah apabila ada sekatan pada dubur sehingga menyebabkan perjalanan darah tersekat dan buasir membengkak. Keadaan ini disebabkan oleh sembelit.

Faktor yang menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit buasir pula ialah apabila mereka mengalami sembelit, cirit-birit berterusan, kurang mengambil makanan berasaskan serat dan terlalu banyak makan daging serta mereka yang terlalu aktif menunggang kuda dan berbasikal juga terdedah kepada bahaya penyakit ini. Ini kerana kedua-dua jenis sukan berkenaan menyebabkan hentakan pada badan. Individu yang gemar meminum minuman keras dan kerap memakan makanan bercili dan berempah turut terdedah kepada penyakit itu selain faktor keturunan dan persekitaran.


Pendarahan adalah gejala utama penyakit itu kerana 70 peratus daripada pesakit buasir akan mengalami pendarahan apabila mereka membuang air besar. Dalam keadaan ini, pesakit selalunya mendapati darah itu akan memancut. Bagaimanapun, pendarahan yang berlaku pada peringkat awal selalunya tidak mengakibatkan kesakitan di kalangan pesakit. Pesakit juga akan berasa kesakitan pada dubur disebabkan luka di bahagian itu kerana buasir sudah membeku atau bewarna biru.

Ketika membuang air besar, pesakit akan berasa sesuatu akan terkeluar kerana buasir semakin membengkak. Dalam keadaan ini, pesakit hendaklah menolak masuk buasir itu dengan jari. Kadangkala pesakit akan mendapati lendir terkeluar daripada dubur, rasa gatal di sekitar punggung dan dubur serta tidak menyedari najis terkeluar daripada dubur. Ada juga sesetengah kes yang menyebabkan pesakit mengalami kekurangan darah atau anemia, badan rasa lemah dan muka menjadi pucat akibat pendarahan itu.

Buasir boleh dibahagikan kepada empat peringkat dan setiap peringkat mempunyai gejala tersendiri. Buasir pada peringkat pertama selalunya menunjukkan gejala pendarahan ketika pesakit meneran apabila membuang air besar. Pada peringkat kedua, buasir akan terkeluar sedikit apabila pesakit meneran untuk membuang air besar, tetapi naik semula selepas selesai meneran.

Peringkat ketiga pula adalah keadaan di mana buasir semakin membengkak dan terkeluar setiap kali membuang air besar, tetapi pesakit hanya perlu memasukkan semula buasir ini dengan jari. Pada peringkat empat, kesakitan ketika membuang air besar menjadi semakin teruk dan buasir boleh terkeluar dan ia memerlukan rawatan daripada pakar perubatan.

Lazimnya doktor akan menjalankan pemeriksaan pada lubang dubur pesakit dengan menggunakan sejenis alat dikenali sebagai proctoscope. Pemeriksaan itu perlu dijalankan bagi mengenal pasti penyakit dihidapi sama ada buasir atau kanser dubur. Pakar perubatan juga kadangkala menggunakan alat sigmoidoscopy bagi melihat bahagian dalam dubur pesakit dan menjalankan ujian sinaran-X yang dikenali sebagai barium enema hanya jika doktor mengesyaki buasir yang dialami disebabkan oleh kanser dubur.


Pakar perubatan akan memastikan peringkat buasir yang dialami oleh pesakit. Jika masih di peringkat pertama, pesakit akan dinasihatkan supaya mengambil lebih banyak makanan berasaskan serat, buah-buahan, minum lebih banyak air dan makan lebih banyak sayur-sayuran.

Pesakit juga kadangkala akan diberi ubat-ubatan yang boleh menegangkan otot dubur dan mengecutkan saluran darah. Jika buasir dikenal pasti berada di peringkat kedua, doktor selalunya akan memberi sejenis suntikan ke dalam dubur pesakit, mengikat buasir dengan getah atau rubber band ligation, pancaran laser dan kaedah menggunakan ais iaitu cryotherapy.

Pada peringkat ketiga dan keempat pula, doktor selalunya akan menjalankan pembedahan ke atas pesakit. Bagaimanapun, pembedahan hanya akan dilakukan jika rawatan ubat-ubatan tidak berkesan. Bagaimanapun, hanya 10 peratus pesakit buasir yang perlu dibedah. Pesakit tidak akan dibedah, kecuali buasir sudah terlalu teruk dan ubat-ubatan tidak lagi berkesan.


Bagi pesakit yang sedang menjalani rawatan bagi mengurangkan penyakit buasir seperti pendarahan, kesakitan, bendalir dubur dan gatal-gatal, ada petua-petua tertentu yang disyorkan bagi memastikan kesan buruk penyakit ini dapat dikurangkan:


  1. Minum banyak air. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, iaitu kira-kira 1.2 hingga dua liter sehari.
  2. Makan makanan berserat tinggi seperti bijirin, roti, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  3. Gunakan tandas pada suatu jangka masa yang sama. Contohnya, apabila bangun pagi dan selepas minum segelas air.
  4. Elakkan makanan yang boleh mengganggu sistem, sebagai contoh makanan yang terlalu pedas dan minuman beralkohol. Elakkan juga minuman yang boleh merangsang usus seperti kopi dan teh.
  5. Sentiasa bersenam seperti berjalan dan berenang. Elakkan sukan tertentu seperti menunggang kuda dan menaiki basikal.
  6. Perlu diingat, jika gejala yang dialami terus berlanjutan, seperti berdarah ketika membuang air besar dan ketidakselesaan pada kawasan dubur, dapatkan rawatan doktor dengan segera.
Sumber :

Dr Zain al-Rashid Mohd Nor - Pakar Bedah dan Vaskular,
Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur

Buku bertajuk : Kesihatan Keluarga
Penulis : Raihanah Abdullah
Penerbit : PTS, 2008

#penyakitbuasir



No comments:

Post a Comment

Adbox