Saturday, 9 April 2016

Kedatangan Rejab; Istilah Rejab Dan Amalan-Amalan Di Dalam Bulan Rejab

Perbahasan Istilah Rejab; Ibnu Jauzi telah berkata di dalam kitabnya, At-Tabsirah daripada Ibnu Arabi Al-Maliki daripada Al-Fadl katanya; Setiap orang Arab mengatakan: Rajjab-tu, makna aku memuliakan si fulan. Adapun dinamakan Rejab itu disebabkan kebesarannya.

Sulaiman Adz-Zaukani telah berkata; Adapun dinamakan bulan Rejab As-Som (tidak mendengar) kerana orang-orang Arab tidak menyerang di antara satu sama lain di dalam bulan Rejab. Mereka tidak mengangkat senjata di dalam bulan itu. Maka disebabkan peperangan tidak dilakukan di dalam bulan tersebut, mereka tidak mendengar bunyi lagaan pedang ataupun sebarang senjata lain. Dengan yang demikian ini ia dinamakan pekak (tidak mendengar).

Al-Imam Shihabuddin dan Ahmad bin Rejab di dalam kitabnya Al-Lata'if dan sebahagian daripada mereka telah menukilkan bahawa sesungguhnya Rejab mempunyai empat belas nama iaitu; bulan Allah, Rejab, Rejab Mudhor (terasing); Mansilul Assinah, si pekak, Al-Asob (tumpahan ataupun curahan), munaffis (orang yang bernafas), mutthatrir (yang mencuci), mu'li (yang meninggikan), muqim (yang mendirikan), haram (uzur), muqasqas dan fard (tunggal). Antaranya dinamakan juga Rajam.

Amalan-Amalan Di Dalam Bulan Rejab:-

1. DOA AWAL REJAB

Dikeluarkan oleh Abu Nu'aim di dalam kitab Al-Hilyah (18) dengan isnad yang dhaif daripada Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah SAW  apabila memasuki bulan Rejab baginda SAW telah berdoa;


Maksudnya: "Ya Allah!, Berkatilah kami di dalam bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami di dalam bulan Ramadhan."

Hadis di atas juga telah dikeluarkan oleh Ad-Dailami (19) di dalam Musnad Al-Firdaus daripada Anas bin Malik r.a. Hadis-hadis di dalam Musnad Al-Firdaus ini adalah lemah. Hadis lemah adalah dipakai dan diamalkan di dalam amalan-amalan soleh yakni di dalam penjelasan ke atas kelebihan-kelebihan amalan sebagaimana yang disepakati oleh alim ulamak dan sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Imam An-Nawawi didalam kitab beliau Al-Azkar.

2. SOLAT DAN PUASA

Daripada Salman r.a daripada nabi SAW sesungguhnya baginda SAW bersabda; Telah hampir datangnya bulan Rejab; Ya Sulaiman! barangsiapa dari kalangan orang yang beriman lelaki atau wanita yang bersolat sebanyak tiga puluh rakaat di dalam bulan ini dengan membaca Al-Fatihah di dalam setiap rakaat, Surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, Surah Al-Kafirun tiga kali maka akan dihapuskan oleh Allah dosa-dosanya, dikurniakan kepadanya ganjaran seolah-olah ia berpuasa di sepanjang tahun, dikira di kalangan orang-orang yang bersolat sehingga tahun yang berikutnya, diangkat darinya dari setiap hari bulan itu ganjaran syahid dari para syuhada' Badar. Dituliskan untuknya ganjaran pahala puasa setiap hari di dalam bulan itu sama dengan ibadat setahun, dinaikkan untuknya seribu darjat. Maka barangsiapa yang berpuasa selama sebulan pada bulan ini dan bersolat dengan solat ini, Allah akan menyelamatkannya dari api neraka dan diwajibkan syurga untuk, juga beliau adalah dari kalangan jiran-jiran Allah dan diberitahu kepadaku oleh Jibrail a.s dengan katanya; Ya Muhammad, ini adalah merupakan alamat di antara kamu dan orang-orang Musyrikin serta Munafikin kerana sesungguhnya orang-orang Munafikin tidak bersolat dengan solat yang sedemikian. Kata Salman r.a; Ya Rasulullah, beritahulah kepadaku bagaimana aku boleh mengerjakan solat itu dan bilakah masanya aku mendirikan solat itu?. Jawab Rasulullah SAW; Ya Sulaiman, hendaklah Engkau bersolat pada awal bulan (Rejab) sebanyak sepuluh rakaat dengan membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah sekali, Surah Al-Ikhlas tiga kali dan Surah Al-Kafirun tiga kali. Apabila Engkau selesai memberi salam angkatlah kedua tanganmu dan katakanlah;



Maksudnya: "Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu untuknya, miliknya-lah segala kerajaan dan pujian. Engkau yang menghidupkan dan Engkaulah yang mematikan dan Dia hidup tidak mati, di tangannyalah segala kebaikan dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Wahai Allah, tiada yang menahan bagi barangsiapa yang telah Engkau kurniakan dan tiada seorangpun pemberi kurnia bagi barangsiapa yang Engkau tahan dari mengurniakan, tidak memberi manfaat kegigihan orang yang berusaha."

Kemudian hendaklah engkau menyapu mukamu dengan kedua tapak tanganmu itu.

Apabila tiba pertengahan bulan (Rejab) solatlah kamu sebanyak sepuluh rakaat dan bacalah didalam setiap rakaat Al-Fatihah sekali, Surah Al-Ikhlas tiga kali dan Surah Al-Kaafirun tiga kali. Apabila setelah selesai memberi salam angkatlah kedua tanganmu dan bacalah doa yang berikut;



Maksudnya: "Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu untuknya, miliknya-lah segala kerajaan dan pujian, Engkau yang menghidupkan dan Engkau yang mematikan dan Dia hidup dan tidak mati, di tangannyalah segala kebaikan dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Tuhan Yang Satu, Esa dan tempat bergantung segala-galanya, tunggal, tidak mengambil apa-apapun sebagai sahabat tidak juga ia mempunyai anak."

Kemudian hendaklah Engkau sapukan mukamu dengan kedua tapak tangan ini. Kemudian solatlah kamu pada akhir bulan ini sebanyak sepuluh rakaat, bacalah di dalam setiap rakaat Al-Fatihah sekali, Surah Al-Ikhlas tiga kali dan Surah Al-Kaafirun tiga kali dan setelah selesai memberi salam angkatlah kedua tanganmu ke langit dan bacalah;



Maksudnya: "Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu untuknya, miliknya-lah segala kerajaan dan pujian. Engkau yang menghidupkan dan Engkaulah yang mematikan dan Dia hidup tidak mati, di tangannyalah segala kebaikan dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Dan selawat ke atas penghulu kami Muhammad dan ke atas ahli keluarganya yang suci. Tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dengan keizinan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar."

Kemudian hendaklah minta apa sahaja hajat kamu, maka akan dikabulkan apa sahaja permintaan kamu dan dijadikan jarak antara kamu dan neraka sejauh tujuh puluh parit dan jarak setiap parit adalah sejauh langit dan bumi, dituliskan untuk kamu bagi setiap rakaat solat yang kamu kerjakan ganjaran solat beribu-ribu rakaat, dituliskan untuk kamu kebebasan dari api neraka dan kemudian melintasi Siratul Mustaqim. Salman r.a berkata; Apabila Rasulullah SAW selesai dari mengucapkan hadis ini akupun segera sujud dan menangis sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT apabila aku mendengar tambahan ini.

3. KELEBIHAN PUASA PADA HARI KHAMIS PERTAMA DAN SOLAT SUNAT PADA MALAM PERTAMA DI MALAM JUMAAT BULAN REJAB

Daripada Anas bin Malik r.a, katanya; Rasulullah SAW telah bersabda; Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sahabat pun bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, apakah makna perkataanmu bulan Allah? Jawab Rasulullah SAW, lantaran bulan itu di khususkan dengan keampunan, di dalam bulan itu diharamkan menumpahkan darah (dalam peperangan), di dalam bulan itu Allah menerima taubat nabi-nabinya, di dalam bulan itu juga Allah mengeluarkan auliaNya dari cengkaman musuh dan barangsiapa puasa di dalam bulan itu diwajibkan oleh Allah untuk mendapat tiga perkara iaitu: keampunan untuk semua dosa yang telah lalu, pemeliharaan baginya dari baki hidupnya dan ketiga selamat dari kedahagaan pada hari kiamat. Maka bangunlah seorang lelaki yang agak uzur lalu berkata; Ya Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mampu berpuasa di sepanjang bulan itu. Rasulullah SAW pun bersabda; Puasalah kamu sehari di awalnya, sehari di pertengahannya dan sehari di akhir bulan itu, kerana sesungguhnya Engkau dikurniakan pahala seolah-olah puasa di sepanjang bulan tersebut, kerana sesungguhnya satu kebaikan itu akan digandakan dengan sepuluh kebaikan seumpamanya. Akan tetapi janganlah Engkau lalai dari malam pertama hari Jumaat pertama bulan Rejab kerana sesungguhnya para Malaikat menamakan malan tersebut sebagai malam Ar-Raagho'ib.

Yang demikian itu disebabkan apabila telah berlalu sepertiga malam tidaklah tinggal satu pun malaikat di seluruh langit dan bumi melainkan mereka berkumpul di Ka'abah dan sekelilingnya. Maka Allah SWT memerhatikan mereka dan berfirman; Malaikat-malaikatku, mintalah dariKu apa sahaja yang kamu kehendaki. Maka para malaikat pun berkata; Tuhan kami, adapun hajat kami agar Engkau mengampunkan orang yang mengerjakan puasa dalam bulan Rejab. Allah SWT pun berfirman; Telah aku lakukan yang sedemikian itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda; Maka tidak seorang pun yang berpuasa pada hari khamis; hari khamis yang pertama di dalam bulan Rejab kemudian bersolat di antara waktu Maghrib dan Isyak iaitu pada malam Jumaat dua belas rakaat dengan membaca di dalam setiap rakaat Al-Fatihah sekali, Inna anzalna hufi lailatil qadr (Surah Al-Qadr) sebanyak tiga kali dan Qul HuwAllahu Ahad dua belas kali, kami dipisahkan antara dua rakaat dengan satu salam. Apabila selesai mengerjakan solat tersebut kemudian berselawat ke atasku sebanyak tujuh puluh kali dengan menyebut;


Maksudnya: "Ya Allah, selawat ke atas Muhammad, nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarganya dan berilah kesejahteraan."

Kemudian sujudlah dengan sekali sujud dengan berdoa di dalam sujudnya dengan doa yang berikut;


Maksudnya: "Tuhanku, ampunilah dan rahmatilah dan hindarilah dari barangapa yang Engkau ketahui (jangan catitkan sebagai dosa)." (70 kali)

Kemudian hendaklah sujud bagi kali yang kedua dengan berdoa seperti doa yang di atas dan mintalah segala hajatnya di dalam sujud itu lantaran ianya dimakbulkan. Rasulullah SAW telah bersabda; Demi Dia yang memegang nyawaku, tidaklah seorang hamba ataupun umat mengerjakan solat ini melainkan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih-buih di lautan, sebanyak bilangan pasir-pasir dan seberat gunung-ganang, sebanyak bilangan titisan air hujan dan bilangan daun-daun pokok dan akan diberikan syafaat pada hari kiamat untuk tujuh ratus ahli keluarganya. Pada malam pertama di dalam kuburnya datanglah kepadanya pahala solat ini dengan wajah yang bercahaya-cahaya dan lidah yang fasih lalu berkata; Ya kekasihku, gembiralah kerana sesungguhnya Engkau telah selamat dari segala kepayahan. Maka dia akan berkata; siapakah kamu?, demi Allah tidak pernah aku melihat seorang lelaki yang terlebih cantik seumpama kamu, tidak pernah aku mendengar perkataan yang lebih manis dari perkataanmu, dan tidak pernah aku mencium bau yang terlebih harum dari bau kamu. Maka berkatalah ia; ya kekasihku, aku adalah pahala solat kamu yang telah Engkau kerjakan pada malam sekian, hari sekian di dalam bulan sekian di dalam tahun sekian. Aku telah datang kepadamu pada malam ini untuk menunaikan hajatmu, menemani kesunyianmu dan melepaskan kamu dari kesengsaraan. Apabila tiba hari kiamat aku akan melindungi kamu dari kedasyatan hari itu di atas kepala kamu, maka gembiralah sesungguhnya kebaikan tidak akan putus dari Tuhanmu untuk selama-lamanya.

4. PUASA DAN SOLAT PADA HARI DUA PULUH TUJUH BULAN REJAB

Daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi SAW sesungguhnya baginda telah bersabda; Barangsiapa berpuasa pada hari kedua puluh tujuh bulan Rejab, dituliskan untuknya pahala enam puluh tahun. Hari ini adalah merupakan hari pertama Rasulullah SAW diutus dengan risalah tauhid. As-Syeikh Qadir Al-Jailani telah berkata; Telah diberitahu kepada kami oleh Habbatullah dengan isnad-isnad daripada Al-Hassan Al- Basry rahimullah; Pada hari kedua puluh tujuh Rejab, Abdullah bin Abbas r.anhuma telah beriktikaf sejak awal-awal pagi lagi dan bersolat sehingga waktu zohor, apabila selesai bersolat zohor beliau akan mengalih tempatnya sedikit dan kemudiannya bersolat sebanyak empat rakaat dengan membaca Al-Fatihah di dalam setiap rakaat, Al-Falaq dan An-Nas sekali dan Al-Qadr tiga kali dan Qul Huwallahu Ahad lima puluh kali kemudian terus berdoa sehingga waktu Asar. Beliau berkata; Beginilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW pada hari ini.

5. BANYAK BERISTIGHFAR

Banyakkanlah membaca istighfar-istighfar di sepanjang bulan Rejab ini, sekurang-kurangnya membaca;
Maksudnya: "Aku memohon keampunan dari Allah yang Maha Besar.

6. MEMOHON TAUBAT DARI SEKALIAN DOSA




Semoga apa yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada kita semua!

Sumber Rujukan: 

Tajuk Buku : Keajaiban REJAB, SYA'BAN, RAMADHAN
Penulis : Ustaz Ali Umar Al-Hafiz
Terbitan : Pustaka Al-Ehsan, 2012


No comments:

Post a Comment

Adbox