Monday, 22 August 2016

Perjuangan Mencapai Kemerdekaan



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kita menyambut perayaan Hari Kemerdekaan Negara yang jatuhnya pada 31hb Ogos setiap tahun. Apa agaknya pegertian merdeka dan sejauh mana kita menjiwai sambutan perayaan ini terutama bagi golongan yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan?

Kemerdekaan sesebuah negara itu biasanya dikaitkan dengan kebebasan daripada cengkaman penjajah. Rakyat sebuah negara merdeka mengatur dan memilih corak kehidupan yang mereka suka dan membangun tanpa terikat kepada negara lain, khasnya kepada negara yang pernah menjajahnya. Secara khususnya, Malaysia yang merdeka telah memilih corak dan sistem pemerintahan yang berdasarkan demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan, dan sistem ini didasarkan kepada federalisme.





Perjuangan Berdarah Untuk Kemerdekaan

Sejarah menunjukkan bahawa rakyat negara ini sanggup berjuang dan berkorban nyawa dalam usaha menghalau penjajah dari tanah air. Setiap penjajah yang cuba menguasai tanah dan kehidupan rakyat negara ini telah ditentang. Di antara sejarah penetangan rakyat negara ini berjuang menghalau penjajah adalah;

Penentangan Terhadap Penjajah Siam

Sebelum kemasukan kuasa Siam di Tanah Melayu, orang-orang Siam telah beberapa kali cuba menjajah Melaka dan Pahang, tetapi usaha itu tidak berjaya kerana menerima tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Bagaimanapun Siam akhirnya dapat juga menakluki negeri-negeri Kedah, Perlis dan Kelantan (daripada 1821 - 1909)

Penentangan Terhadap Penjajah Portugis

Portugis berjaya menakluki Melaka selama 130 tahun, iaitu daripada tahun 1511 sehingga 1641. Walaupun begitu lama menakluki Melaka, orang-orang Portugis gagal dan tidak pernah dapat menjajah negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. Percubaan Portugis untuk menakluki Naning, Rembau dan Muar tidak berjaya kerana menerima tentangan hebat daripada orang-orang Melayu.

Penentangan Terhadap Penjajah Belanda

Orang-orang Belanda telah lama menguasai Pulau Jawa di Indonesia. Mereka tidak mahu pelabuhan Melaka yang dikuasai oleh Portugis menyaingi pelabuhan Betawi dibawah penguasaan Belanda. Orang-orang Belanda berhasrat untuk menguasai perdagangan di kawasan timur. Lantaran Belanda telah meminta bantuan Sultan Johor untuk menyerang Melaka dan akhirnya berjaya menaklukinya pada tahun 1641 dan meneruskan penjajahannya selama kira-kira 180 tahun.

Beberapa episod penentangan penjajah Belanda misalnya serangan oleh Sultan Ibrahim dari Selangor terhadap orang-orang Belanda di Melaka dan membakar rumah-rumah orang Belanda. Begitu juga Raja Haji yang ketika itu Yam Tuan Muda Johor turut menyerang kapal-kapal Belanda di Selat Melaka.

Penentangan Terhadap Penjajah Inggeris

Secara rasmi, Kerajaan Inggeris mula menjajah negara ini melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 apabila Inggeris telah mengambil alih Melaka daripada pihak Belanda akibat pertukaran wilayah jajahan.

Sebelum itu, pihak Inggeris telah memperkukuhkan jajahan mereka di negeri-negeri Tanah Melayu dimana Inggeris telah menguasai Pulau Pinang yang telah 'dianugerahkan' kepada Francis Light oleh Sultan Kedah pada tahun 1786, dan Stamford Raffles telah menguasai Singapura setelah 'dianugerahkan' oleh Tengku Husin pada tahun 1819.Inggeris telah memperkukuhkan lagi kedudukan meraka dengan menubuhkan Negeri-negeri Selat pada tahun 1826.

Akibat bertapaknya Inggeris di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, penjajah Inggeris sentiasa mendapat tentangan daripada penduduk tempatan dan ringkasan penentangan penduduk-penduduk tempatan adalah seperti berikut;

Penentangan di Naning

Sejarah telah menunjukkan penentangan di Naning diketuai oleh Datuk Dol Said bersama dengan pengikut-pengikutnya berjuang untuk mempertahankan Naning daripada dikuasai oleh Inggeris dan penentangan terhadap Inggeris bermula apabila pemerintah Inggeris menyuruh pembesar Naning untuk membayar cukai kepada penjajah Inggeris.

Penentangan di Selangor

Penentangan penduduk tempatan terhadap Inggeris di Selangor telah dipimpin oleh Raja Mahadi dan pembesar-pembesar tempatan. Penentangan ini terjadi akibat perlantikan Tengku Kudin sebagai Wizurai Selangor oleh Inggeris oleh Residennya iaitu J.G. Davidson, namun Tengku Kudin telah mendapat bantuan daripada Inggeris dan Yap Ah Loy.

Penentangan di Perak

Inggeris menguasai Perak melalui Perjanjian Pangkor 1874 apabila J.W.W Birch dilantik sebagai Residen yang pertama. Bagaimanapun timbul rasa tidak puas hati di kalangan penduduk dan pembesar tempatan terhadap tindak tanduk Birch. Akhirnya pada November 1875 Birch telah dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela dan penyokong-penyokongnya di Pasir Salak. Punca utama Birch dibunuh ialah kerana beliau cuba campur tangan dalam hal ehwal adat istiadat orang Melayu.

Penentangan di Pahang

Masalah penentangan Inggeris di Pahang bermula apabila Inggeris melantik J.P. Rodger sebagai Residen Pahang pada tahun 1888 dan beliau memperkenalkan jawatan 'Pemungut dan Majistret' yang mengakibatkan para pembesar tempatan telah kehilangan mata pencarian daripada cukai. Akibat rasa tidak puas hati, pada tahun 1891 Tok Gajah bersama-sama anaknya, Mat Kilau dan Datuk Bahaman telah menyerang Inggeris di Balai Polis Lubok Trua dan menawan Temerloh, menyerang balai Polis di Kuala Tembeling dan menawan Kubu Inggeris di Jeram Ampai. Tindakan mereka ini berjaya melahirkan semangat menentang Inggeris.

Penentangan di Sarawak

Pemerintahan James Brooke di Sarawak sentiasa mendapat tentangan. Penentangan pertama dibuat oleh Sharif Masahor kerana James Brooke mengambil kawasan Sungai Rejang. Untuk menunjukkan bantahannya, Sharif Masahor membuat pakatan dengan Datuk Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu Brooke di Kanowit dan Kuching pada tahun 1860. 

Dalam lingkungan waktu yang sama, muncul seorang tokoh masyarakat iban yang bernama Rentap (nama sebenar Libau). Beliau bersama-sama dengan pengikutnya menentang Brooke kerana cuba mencerobohi kawasan orang Iban di Sarawak. Pada tahun 1853 beliau menyerang kubu Brooke di Sungai Skrang dan berjaya membunuh pegawai Brooke.

Pada tahun 1893, masyarakat iban di hulu Sungai Batang Lupar telah menyerang tentera Brooke dan kali ini diketuai oleh Banting. Tentangan ini adalah kerana pemerintahan Brooke cuba menghapuskan adat dan tradisi yang menjadi amalan penduduk tempatan. Pada tahun-tahun 1920-an muncul pula pemimpin Dayak bernama Asun di Sugai Kanowit menentang pemerintahan Brooke di Sarawak.

Penentangan di Sabah

Orang-orang Inggeris di Sabah mendapat tentangan daripada penduduk tempatan yang diketuai oleh Mat Salleh (nama sebenar beliau ialah Mohammad Salleh) berketurunan Bajau dan Sulu. Antara tahun 1894 - 1900, beliau telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap Kompeni Berpiagam Inggeris dan antara kejayaan beliau ialah memusnahkan pelabuhan Kompeni di Pulau Gaya. Punca utama penentangan dilakukan ekoran usaha-usaha Inggeris mengenakan berbagai jenis cukai kepada penduduk tempatan dan menyekat kebebasan pembesar-pembesar tempatan. Bagaimanapun beliau mati tertembak pada tahun 1900.

Kemarahan penduduk Sabah terhadap pemerintahan Inggeris berterusan, misalnya pada tahun 1915, pemimpin utama Murut, Antanum telah melakukan pemberontakan yang dinamakan Kebangkitan Rundum.

Penentangan di Kelantan

Penentangan terhadap penjajah Inggeris di Kelantan sering dikaitkan dengan peristiwa Pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915. Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Wan Hassan merupakan seorang ulama' dan dihormati oleh penduduk kawasan Jeram. Beliau adalah ketua kampung Nering di Pasir Putih. Pemberontakan Tok Janggut bermula apabila pihak Inggeris melantik Encik Latif sebagai Pegawai Daerah Pasir Putih pada tahun 1914. Perlantikan ini telah mengancam kedudukan Engku Besar Tun Ahmad yang berkuasa di Jeram. Pada waktu yang sama pihak Inggeris telah mengenakan pelbagai jenis cukai seperti cukai kepala, cukai buah kelapa dan cukai buah-buahan dan ini membebankan penduduk temapatan.

Akibat daripada keengganan Tok Janggut dan pengikutnya membayar cukai, Inggeris telah mengarahkan seorang polis bernama Sarjan Hassan untuk menangkap Tok Janggut. Namun polis itu telah dibunuh dan bermulalah pemberontakan Tok Janggut.

Penentangan di Terengganu

Kehadiran penjajah Inggeris di Terengganu tidak disenangi oleh penduduk tempatan. Satu pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan Tani berlaku pada tahun 1928 yang diketuai oleh seorang ulama' bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Ulama-ulama lain yang terlibat dalam pemberontakan ini ialah Haji Zakaria, Mat Zin, Lebai Deraman, Ismail Par dan Penghulu Salleh. Mengikut Haji Abdul Rahman Limbong, tanah ialah hak Allah dan Inggeris tidak berhak memungut cukai dan mengenakan sekatan. Antara sebab berlakunya penentangan ialah pengenalan sistem pemerintahan barat yang bertentangan dengan sistem pemerintahan tempatan yang berasaskan Islam. Selain daripada itu pihak Inggeris telah mengenakan pelbagai jenis cukai seperti cukai hasil tanah dan cukai kepala dan penduduk tempatan dikehendaki mendapatkan pas kebenaran daripada kerajaan sebelum membuka tanah untuk bercucuk tanam atau memungut hasil hutan.

Penentangan terhadap Penjajah Jepun

Rakyat negara ini mengalami kesengsaraan pada zaman pemerintahan Jepun. Pentadbir Jepun mengambil tindakan dengan mengawal pergerakan rakyat dengan ketat dibawah pentadbiran ketenteraan. Berbagai kawalan dan sekatan menyebabkan rakyat hidup dalam kesengsaraan. Keadaan ini menyebabkan rakyat bangkit menentang Jepun. 

Parti Komunis Malaya yang dianggotai oleh sebilangan besar kaum Cina telah menubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sementara di Pahang, orang-orang Melayu telah menubuhkan Tentera Wataniah. Bekas pegawai-pegawai British yang bersembunyi di hutan telah menubuhkan Sekolah Latihan Khas 101 untuk melatih orang-orang tempatan menggunakan senjata api sementara orang-orang tempatan menyertai Force 136 dibawah pimpinan Kapten Spencer Chapman. Di Perak telah ditubuhkan Askar Melayu Setia yang diketuai oleh Kapten Mohd. Salleh bin Haji Sulaiman. Pasukan-pasukan ini telah melakukan serangan gerila dan berlindung dalam hutan. Di Sabah dan Sarawak pula, orang-orang Cina bekerjasama dengan kaum bumiputera menubuhkan Gerila Kinabalu yang dipimpin oleh Musa dan Albert Kwok Fen Nam dan mereka membuat hubungan dengan gerila Sulu di Filipina di bawah pimpinan Imam Marajukan menentang Jepun.



Semoga kita dapat menghayati dan mengenang jasa-jasa pejuang tanah air yang telah berjuang hingga terkorban untuk menentang penjajahan asing di Tanah Melayu sehinggalah beberapa gerakan yang dibuat bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pihak British.

"SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN"







2 comments

sy kalau baca balik perjuangan kemerdekaan ni..sebak je rasa. Alhamdulillah negara Malaysia masih aman dan damai :)

Ya. Betul tu Cik Itah, mudah-mudahan generasi yang lebih muda dapat menghayati perjuangan orang-orang terdahulu sebab mereka bakal membentuk dan mewarnai pemerintahan negara pada masa depan


EmoticonEmoticon

Technology