Sunday, 4 September 2016

4 Keutamaan Sepuluh Hari Zulhijjah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Datang Zulhijjah! Sepertimana pendapat ulama'-ulama' tafsir, sepuluh hari pada awal Zulhijjah ialah hari yang paling utama dan yang paling agung di dunia. Ini adalah berdasarkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sunan Abu Daud dari Ibnu Abbas r.anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Tidak ada hari yang mana amalan soleh yang dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah." Sahabat bertanya, "Tidak pula berjihad di jalan Allah?" Baginda bersabda, "Tidak pula berjihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak kembali dengan sesuatu darinya (syahid di jalan Allah)." (Riwayat Bukhari no. 969 dan Abu Daud, no. 2438)
Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata:

"Secara am sepuluh hari Zulhijjah ialah hari yang paling utama dalam setahun, sepertimana yang disebutkan oleh hadis. Keutamaan sepuluh hari Zulhijjah menyamai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seperti solat, puasa, sedekah dan lainnya. Sepuluh hari Zulhijjah diistimewakan dengan pelaksanaan ibadah haji di dalamnya." (Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 218)

Antara keutamaan lain pada sepuluh hari Zulhijjah adalah seperti berikut;

1. Allah SWT menggabungkannya dengan waktu-waktu yang paling utama di dalam al-Quran.


Antaranya dengan waktu fajar, genap, witir dan malam. Digandingkan dengan waktu fajar kerana dengan tibanya waktu fajar maka dikembalikannya kehidupan selepas kematian kecil (tidur). Pada waktu itu, berkumpulnya para malaikat dan waktu yang paling dekat dengan waktu turunnya rahmat Allah SWT ke langit dunia, iaitu pada sepertiga akhir malam. Disebutkan bersamaan dengan genap dan witir, kerana kedua-duanya adalah jumlah terciptanya makhluk. Tidak ada makhluk kecuali ia genap atau witir (ganjil). Sepuluh hari ini pula adalah genap iaitu hari-hari Nahar dan witirnya iaitu hari Arafah. Ia disebutkan bersamaan dengan waktu malam, kerana keutamaannya. Waktu malam didahulukan penyebutannya dari waktu siang dan lebih kerap disebut didalam al-Quran berbanding waktu siang. Waktu malam adalah masa yang paling afdal untuk solat sunat dan lebih dekat kepada keikhlasan. Oleh sebab itu ia adalah waktu yang sesuai untuk berkhalwat kerana lebih dekat kepada muraqabah (pengawasan) Allah SWT dan lebih dekat untuk memohon agar diterima permintaan dan pengampunan dosa.

2. Allah SWT menyempurnakan agama ini pada sepuluh hari Zulhijjah dan dikumpulkannya semua ibadah.

Allah SWT telah menyempurnakan agama dan Rasulullah SAW telah meninggalkan kita dalam manhaj yang jelas. Malamnya ibarat siang sehingga orang-orang Yahudi berhasad dengki kepada umat Islam kerana kesempurnaan ini. Seorang daripada kalangan Yahudi pernah berkata kepada Umar bin Khattab r.a yang bermaksud:



"Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya kamu membaca sepotong ayat di dalam kitabmu, seandainya ia turun ke atas kami orang Yahudi, nescaya kami menjadikan hari turunnya sebagai hari perayaan." Umar bertanya, "Apakah ayat itu?" Orang itu berkata, "Firman Allah SWT yang bermaksud, "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha bahawa Islam itu menjadi agamamu." (Surah al-Maidah 5:3). Umar berkata, "Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui hari diturunkannya, iaitu petang hari Arafah pada hari Jumaat."

3. Dalam bulan Zulhijjah ada hari Arafah iaitu hari yang sangat mulia

Orang yang berada di Arafah dikenali sebagai ahli tauhid. Pada hari itu mereka sering mengulangi kalimah berikut:




Pada hari itu, syaitan tidak pernah terlihat paling kecil, paling hina dan paling rendah melebihi hari itu, kerana melihat banyak rahmat yang diturunkan dan Allah SWT membanggakan orang-orang yang berada di Arafah kepada para penghuni langit. Allah SWT pula memerdekakan banyak manusia dari Neraka sebagaimana hadis Rsulullah SAW yang bermaksud,

"Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah. Sebaik-baik yang aku ucapkan dan nabi-nabi sebelumku adalah, "Tidak ada tuhan yang disembah selain Allah, Dialah yang Esa tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya semua kekuasaan dan bagi-Nya pula segala pujian. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Riwayat At-Tirmidzi)



Berpuasa sunat pada hari Arafah (bagi orang yang tidak menunaikan haji) adalah untuk menghapuskan dosa pada tahun yang lepas dan yang akan datang. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang keutamaan puasa Arafah, baginda bersabda yang bermaksud;

"Aku mengharap kepada Allah, puasa pada hari Arafah boleh menghapuskan dosa-dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya." (Riwayat Muslim)

4. Dalam bulan Zulhijjah ada hari Nahar dan hari haji akbar. Pada waktu itu diisytiharkan bara' (berlepas diri) daripada orang-orang Musyrik.

Allah SWT berfirman:


“Dan (inilah) suatu pengisytiharaan daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahwa Sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka ketahuilah bahwa Sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.” (at-Taubah: 3)

Allah SWT menzahirkan Islam daripada agama-agama yang lainnya dan memaklumkan bara' (berlepas diri) daripada penyembah berhala. Barisan kaum Muslimin menjadi satu sehingga diumpamakan sebagai satu jasad. Alangkah nikmatnya melihat orang yang beriman menang ke atas musuh-musuh mereka. Pada hari tersebut terkumpul segala amalan-amalan haji seperti melontar, menyembelih (nahar), memotong rambut, tawaf dan sa'i. Selain daripada orang yang mengerjakan haji, mereka melaksanakan solat hari raya dan menyembelih haiwan korban.



Ganjaran pahala beramal pada sepuluh hari Zulhijjah amat banyak dan tidak dapat dihitung. Bulan Zulhijjah disyariatkan untuk memperbanyakkan amalan soleh seperti puasa, sedekah, bertaubat serta berbanyakkan tasbih, tahlil dan tahmid.

Selamat beramal!

No comments:

Post a Comment

Adbox