Friday, 9 September 2016

Bersediakah Kita Menghadapi Krisis Ekonomi - Adakah Anda Rasa 'DiPaksa Untuk Rela atau 'Rela kerana Terpaksa'?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Jika ditinjau daripada keluh-kesah masyarakat tidak mengira bangsa dan agama, sama ada sembangnya di kedai kopi mahupun di laman sosial, nampaknya rakyat negara ini semakin diancam dengan tekanan jiwa akibat daripada kesan krisis ekonomi.

Rata-rata ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang keperluan, ada juga yang komplen tentang cukai yang dirasakan tidak perlu dikenakan dan ada juga yang mendakwa ramai pekerja yang telah diberhentikan. Ada juga yang bercerita tentang kegagalan dan kerugian mereka dalam perniagaan, malah ada juga yang bersedih kerana tidak dapat bekerja akibat mengidap sakit yang kritikal.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita penutupan cawangan-cawangan bank tempatan yang terkemuka, malah berita mutakhir ini ada menyebut sebuah pasaraya besar juga bakal menutup operasi dan sedang dalam proses memberhentikan pekerja.

Tidak kira atas apa jua sebab, semakin hari semakin ramai rakyat negara ini yang menghadapi masalah kewangan. Lanjutan daripada masalah ini akan timbul pula masalah-masalah lain yang lebih rumit dan kritikal seperti kegagalan untuk membayar komitmen bulanan seperti bayaran ansuran pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi dan kad kredit kepada institusi kewangan. 


Lebih menyulitkan dan memburukkan keadaan apabila syarikat kewangan mengheret penghutang kepada tindakan undang-undang yang akhirnya menyebabkan peminjam diisytiharkan muflis/bankrup. Selain daripada itu, masalah kewangan juga boleh mengakibatkan individu terbabit boleh terjebak dengan kegiatan jenayah seperti perlakuan kes pecah amanah, penipuan dalam urusniaga, penjualan dadah, peras ugut dan rompakan. Malah tidak dinafikan juga ramai yang telah terdesak lalu membuat pinjaman wang haram (Ah Long).


Terdapat juga kes dimana terjadinya kemurungan, keresahan dan kerunsingan yang melampau sehingga terjadinya gangguan mental yang boleh mengakibatkan kecenderungan kepada tindakan mencederakan dan mengancam keselamatan diri sendiri ataupun orang lain. Jadi apakah tindakan kita jika tergolong sama ada sebagai mangsa krisis ekonomi ataupun sebagai ahli keluarga mangsa?


Berbagai saranan daripada pelbagai pihak termasuk daripada pihak menteri ataupun dari pakar ekonomi dan kewangan termasuklah cadangan agar rakyat mengambil langkah berjimat cermat, tingkatkan simpanan serta mencari sumber pendapatan tambahan dengan membuat dua atau lebih kerja-kerja sampingan (part-time).

Apa juga saranan yang diberikan memang ada benarnya. Namun begitu bagi individu yang pernah melalui situasi yang sukar yakni menghadapi masalah kewangan akibat dibelenggu oleh beban hutang yang banyak, kebolehan berfikir dan bertindak untuk mencari solusi sukar dipertimbangkan. Ketika itu daya tolakan iaitu motivasi diri sendiri (self-motivation) menjadi lemah kerana individu berkenaan tidak berupaya untuk memenuhi keperluan asas yang menjadi keutamaan dalam keperluan diri. Di antara keperluan asas tersebut adalah;

1) Perbelanjaan Harian - Merangkumi perbelanjaan/pembiayaan kos makanan, kos pengangkutan, kos persekolahan anak-anak dan lain-lain


2) Perbelanjaan Bulanan - Meliputi pembayaran kos bil utiliti, ansuran bulanan ke atas pinjaman dan lain-lain

3) Perbelanjaan Kecemasan - Merangkumi perbelanjaan di luar jangka seperti bil perubatan, bil kerosakan kenderaan, kos pengurusan jenazah dan lain-lain.

ADAKAH KITA MENERIMA KEADAAN INI SEBAGAI 'DIPAKSA UNTUK RELA' ATAU 'RELA KERANA TERPAKSA'?

2 comments:

  1. PAda pendapat saya "dipaksa untuk rela".
    Bila dipikir balik, terlalu banyak kita perlu bayara utk perkara yang tak perlu..

    ReplyDelete
  2. terpaksa untuk merelakan....banyak komitmen skrg ni

    ReplyDelete

Adbox