Saturday, 3 September 2016

Gejala Pelajar Sakit Mental Merisaukan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Agak memeranjatkan juga apabila membaca laporan di akhbar Berita Harian pada hari Jumaat, bertarikh 02-09-2016 berkaitan dengan tajuk 'Gejala pelajar sakit mental merisaukan' oleh Wan Noor Hayati Wan Alias. Menurut laporan Eksklusif ini, kajian Kementerian Kesihatan yang membabitkan 30,000 pelajar yang disaring antara 2011-2015 mendapati 2 daripada 10 pelajar sekolah negara ini mengalami gejala penyakit mental yang teruk. Gejala itu jika tidak dirawat awal boleh membawa kepada penyakit mental yang kronik apabila mereka meningkat dewasa termasuk kemungkinan terbabit jenayah dan gangguan kepada orang lain. 


Penemuan ini diperolehi daripada hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah kendalian pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Kajian dan saringan ini dilakukan selepas persediaan untuk tindakan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa penyakit mental akan menjadi kedua tertinggi didunia pada 2020.

Mengulas penemuan itu, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramli Mohd Ali berkata, contohnya di Malaysia sekolah meletakkan isu pelajar hiperaktif dalam kategori masalah disiplin yang mana sepatutnya ia dirujuk kepada pakar psikiatri dengan mengambil contoh di Singapura, sudah terdapat program kaunseling di sekolah yang berhubung terus dengan hospital mental.

Sebenarnya penemuan itu juga selari dengan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 yang menunjukkan 600,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 16 tahun di negara ini dikesan mengalami masalah kesihatan mental. Menurut Dr Ramli, masalah mental kanak-kanak boleh berpunca daripada faktor persekitaran, sekolah, keluarga, rakan dan faktor genetik. "Suka bersendirian dalam bilik, selera makan berkurang, sukar tidur, kerap kencing adalah antara simptom awal penyakit mental,"katanya.


Jelas beliau lagi, pesakit mental kanak-kanak, Kurang Penumpuan & Hiperaktiviti (ADHD) yang tidak dirawat pada peringkat awal juga berbahaya kepada individu terbabit dan orang lain kerana berpotensi terjebak dalam jenayah apabila dewasa. Katanya, sikap pesakit ADHD yang suka bergaduh, panas baran menyebabkan mereka disisihkan masyarakat sejak usia kanak-kanak sehingga berasa diri tidak penting yang mendorong mereka melakukan perkara tidak baik untuk menarik perhatian.







EmoticonEmoticon

Technology