Friday, 9 September 2016

Siapakah Perekacipta Jalur Gemilang - Tokoh yang semakin dilupakan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sambutan Hari Kebangsaan dilakukan bagi memperingati tarikh keramat 31 Ogos 1957 dimana Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Malaysia pula lahir selepas enam tahun Tanah Melayu merdeka. Negara baru Malaysia terhasil oleh gabungan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak pada 16 September 1963. Apa yang pasti pada setiap kali menyambut perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bendera kebangsaan yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang dikibarkan dengan megah di seluruh pelusuk tanahair sejak lebih 50 tahun yang lalu. Bendera kebangsaan secara rasmi dan pertama kalinya dikibarkan pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor. Seterusnya bendera kebangsaan dinaikkan dengan penuh kegemilangan bersama dengan teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka pada tarikh 30 Ogos 1957 tepat jam 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur setelah bendera Union Jack yang telah berkibar selama 80 tahun diturunkan.

Bagaimanapun dipercayai tidak ramai yang mengingati serta mengetahui siapakah pereka cipta Jalur Gemilang. Berdasarkan penyelidikan dan bukti-bukti yang sahih yang dikemukakan oleh Arkib Negara Malaysia, pereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu yang semakin dilupakan dan tidak didendangkan ini ialah Allahyarham Mohamed bin Hamzah. 


Riwayat Ringkas

Mohamed bin Hamzah dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau Singapura pada 5 Mac 1918. Setelah Johor Bahru membangun, ibu bapanya berhijrah ke Johor Bahru dan menetap di No. 13, Jalan Mariamah, Kampung Kubor, Johor Bahru. Setelah menamatkan persekolahan beliau bekerja dengan PWD Johor dan mendiami kuarters kerajaan di No. JKR 2384, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru bersebelahan dengan SRJK Tamil. Selepas bersara beliau dan keluarga menetap di No. 36, Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Bapanya bernama Hamzah bin Abdullah berketurunan Cina, anak tauke ladang gambir di Segamat manakala ibunya bernama Aminah binti Haji Mohd Tahir, keturunan India Muslim yang berasal dari Melaka.

Pendidikan

Mohamed bin Hamzah menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bukit Zahrah pada tahun 1930 dan menamatkan persekolahannya pada peringkat Senior Cambridge di English College pada tahun 1935. Di sebelah petang beliau mengikuti pelajaran agama di Sekolah Agama Bukit Zahrah sehingga tamat darjah enam. Pada tahun 1936 beliau melanjutkan pelajarannya di Raffles College, Singapura dengan dibiayai oleh Kerajaan Johor dalam bidang Seni Lukis dan mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi Sijil Kelas A1 pada 31 Januari 1937.

Kerjaya

Setelah menamatkan Kurusu Seni Lukis di Raffles College, beliau memohon pelbagai jawatan dengan kerajaan. Di antara jawatan beliau ialah adalah sebagai Kerani Chandu Gred II bertempat di Office of Superintendent Chandu Monopoly, Johor Bahru sebelum dipindahkan sebagai Pelukis Pelan di PWD Johor. Kemudian beliau dilantik sebagai Pembantu Teknik Rendah Grade III, Penyurih (Tracer) dan pada 1941 beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Teknik Grade II. Beliau lulus peperiksaan Draughtsman Grade III  pada Mac 1947 dan kemudian lulus peperiksaan Draughtsman Grade II pada September 1947 dan lulus peperiksaan Tracer Grade I pada Disember 1948 di Institute of Architects of Malaya.

Pada Ogos 1939 beliau mengikuti kursus secara pos di Press Art School, Tudor Hall, Forest Hill, London bagi mengikuti 42 mata pelajaran dan sepanjang kursus tersebut yuran pengajian beliau dibiayai oleh biasiswa Sultan Ibrahim. Beliau bersara pada Jun 1971 dengan memegang pangkat Pembantu Teknik Tingkatan Tertinggi. Selepas itu, beliau telah diambil bekerja semula sebagai Pembantu Teknik Tingkatan Biasa di Jabatan Kerja Raya. sehingga tahun 1980.

Sumbangan Kretiviti

Mohamed bin Hamzah desegani di kalangan rakan-rakan sepejabat sebagai pereka yang rajin dan sentiasa tampil dengan idea kreatif. Diakui sebagai perekacipta yang berkaliber, beliau bersama-sama dengan rakan-rakan setugasnya didalam Kumpulan Arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed menghasilkan lukisan seni bina bangunan dan lukisan bangunan kerajaan persekutuan dan negeri. Di antaranya ialah pelan Dewan Jubli Intan dan Pejabat Pos Johor Bahru, Masjid Jamek Mersing. Beliau juga mereka cipta lambang DiRaja seperti Sultan Ibrahim, Sultan Ismail dan Tunku Mahkota Johor. Terlalu banyak lagi penglibatan beliau dalam mereka cipta terutamanya untuk Majlis Kebesaran Istana Johor. Koleksi dan gambar kenangan lama dan lakaran logo dan sebagainya telah diserahkan kepada Arkib Negeri Johor.

Merekabentuk Bendera Persekutuan

Apabila Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada 1 Februari 1948, terdapat keperluan kepada panji-panji dan lambang yang menandakan wujudnya sesebuah negara, Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada Mei 1948 bagi mengelolakan penciptaan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Satu mesyuarat telah diadakan bagi menyediakan garis panduan memilih rekabentuk bendera PTM. Pemilihan bendera diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan dan Persidangan Raja-Raja. Dan sehubungan dengan itu mesyuarat telah bersetuju menetapkan warna putih, merah, kuning dan biru untuk bendera PTM. Satu pertandingan mencipta bendera PTM telah diiklankan melalui akhbar tempatan dan karyawan diberikan masa sebulan untuk merekacipta dan menghantar penyertaan pada atau sebelum 10 September 1949.


Mohamed bin Hamzah tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan tersebut. Dalam jangkamasa dua minggu beliau telah mencipta empat reka bentuk bendera PTM dan dihantar kepada Clerk of Councils, The Council Chamber, Kuala Lumpur pada 13 Ogos 1949. Jawatankuasa Khas pemilihan telah menerima 373 corak bendera dan hanya tiga corak bendera dipilih. Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir sama dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru putih dengan bulan bintang berbucu 11 yang bewarna kuning di bahagian tepi kiri.

Mengikut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas, pemilihan bendera PTM perlu mendapat pandangan orang ramai setelah mendapat perkenan oleh Majlis Raja-Raja sebelum diisytiharkan sebagai bendera PTM. Akhbar Malay Mail telah mengumumkan bahawa hasil pendapat umum, majoriti orang awam memilih reka bentuk ketiga dan ini telah direka cipta oleh Encik Mohamed bin Hamzah. Pada awalnya warna bintang bulan adalah putih, namun di atas cadangan DYMM Sultan Kedah dan dipersetujui oleh Raja-Raja yang lain, warna putih digantikan dengan warna kuning yang melambangkan warna DiRaja. Reka bentuk bendera tersebut telah dibawa ke London dan telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950


EmoticonEmoticon

Technology