Wednesday, 17 January 2018

Majlis Pelancaran B5 Johor Street Market ; Queen Victoria Market Versi Johor




MAJLIS PELANCARAN B5 JOHOR STREET MARKET

Pada Hari Sabtu, 13 Januari 2018,  YAB Dato' Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor telah hadir untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran B5 Johor Street Market di Batu 5, Pekan Tampoi, Johor Bahru. Di Melbourne, terdapat sebuah pusat perniagaan yang terkenal iaitu Queen Victoria Market, dan kini Johor berpeluang membangunkannya menurut acuan Versi Johor.

Gambar dan Video sekitar Majlis Pelancaran B5 Johor Street Market :






B5 Johor Street Market bakal mejadi sebuah pusat komersial pelancongan setempat bagi mempromosikan produk-produk tempatan. Ianya bakal mengubah landskap dan wajah Pekan Tampoi dimana pada suatu ketika dahulu pada awal tahun 80an dan 90an, pekan kecil ini pernah menjadi tumpuan penduduk sekitar kawasan ini kerana terdapat sebuah pasar, gerai-gerai makanan, kedai-kedai serbaneka dan sebuah panggung wayang.

Pekan Batu 5 Tampoi - Dalam Kenangan

Pekan Tampoi ini dahulunya lebih dikenali sebagai Pekan Batu 5, namun kerancakan aktiviti perniagaan di kawasan ini mula menghilang selepas suatu tragedi kebakaran di Pekan ini sekitar tahun 90an, dimana berlaku perpindahan sebahagian besar peniaga ke Pusat Perniagaan Taman Dahlia.

Sejak peristiwa itu, kegiatan perniagaan dan aktiviti ekonomi di pekan ini semakin sunyi dan menghilang, semakin suram dan seram sehinggakan menjadi sebuah pekan lama yang seolah-olah telah lama ditinggalkan. Yang peliknya, dalam radius 3 km daripada pekan ini terdapat beberapa buah pusat membeli belah dan pasar raya yang besar seperti Plaza Angsana, Paradigm Mall, Giant, Kip Mart dan @mart Kempas.

Dengan pembangunan perumahan dan pusat komersial yang pesat di sekitar kawasan yang berhampiran seperti Bandar Baru UDA, Damansara Aliff, Kempas dan Danga Bay, membiarkan kawasan tanah seluas 5.8 ekar di tengah-tengan kawasan pembangunan tanpa perancangan yang strategik merupakan satu kerugian kepada pembangunan ekonomi.

Titik Sentuhan Bajet Johor 2018


Kerajaan Negeri Johor amat gembira apabila Johor Corporation telah membuat keputusan untuk membangunkan kembali Pekan Batu 5 ini dengan perancangan sebuah pusat pelancongan setempat bagi menarik kunjungan pengunjung tempatan dan pelancong. Kawasan ini telah diberikan nama baru iaitu B5 Johor Street Market.

B5 Johor Street Market akan menjadi pusat jualan dan pemasaran produk-produk tempatan terutama hasil keluaran negeri Johor. Ianya akan menggabungkan 5 elemen utama iaitu up town, makan dan minum, box park, food truck dan kebudayaan. Terdapat aktiviti berjadual yang dirancangkan seperti persembahan kebudayaan, demonstrasi hasil seni dan kraftangan serta laman kreativiti.


Bagi menarik tarikan lebih ramai pelancong, B5 Johor Street Market akan membuka peluang kepada hampir 170 peniaga dan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Walaupun projek ini masih dalam peringkat perancangan, pihak Johor Corporation telah menerima hampir 500 borang daftar minat untuk berniaga di B5 Johor Street Market, selain respon yang baik diberikan oleh netizen melalui laman Facebook.

Adalah menjadi harapan rakyat bangsa Johor untuk melihat projek ini berjalan dengan lancar  dan bakal mencapai matlamat serta sasaran yang diletakkan untuk memberikan faedah kepada para peniaga, rakyat dan pengunjung serta pembangunan yang lebih pesat bagi kawasan sekitarnya.

4 comments:

  1. ni memanggil suruh singgah Johor lagi la ni.. hahahaha~ cukup berhabis di JPO, kini menanti SM pulak.. menggigil beg duit saya, tuan..

    ReplyDelete
  2. Semoga pembangunan B5 Street Market membantu usahawan Negeri Johor mengembangkan perniagaan mereka...

    ReplyDelete
    Replies
    1. In Shaa Allah. Mudah-mudahan mencapai matlamatnya. Terima kasih kerana sudi singgah ke entri ini dan tinggalkan ulasan. Terima kasih juga kerana sentiasa berikan sokongan kpd blog saya ini.

      Delete
  3. semoga projek ini berjalan dengan sempurna dan jayanya.

    ReplyDelete