Wednesday, 10 January 2018

Melawat Kolej Kediaman di UTHM Kampus di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh


Hab Pendidikan Tinggi Pagoh terletak dalam jarak tidak sampai dua kilometer dari susur keluar ke Plaza Tol Pagoh, Lebuh Raya Utara-Selatan. Pembangunan fasa pertama di kawasan berkenaan meliputi kawasan seluas lebih 200 hektar dan bila siap sepenuhnya akan menempatkan tiga universiti awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sebuah politeknik.

Apabila projek ini siap dan mula beroperasi, adalah dijangka lebih 20,000 bakal menghuni kawasan sekitar Panchor termasuk Pagoh berbanding hanya kira-kira 3,000 orang yang menduduki kawasan Panchor pada masa kini

Adalah diyakini projek ini juga mampu membawa perubahan sosioekonomi setempat dan sudah tentu dengan pembangunan projek berskala besar ini memerlukan aktiviti perniagaan yang rancak bagi menampung permintaan setempat seperti gerai makan, pusat rekreasi dan kemudahan prasarana yang lain seperti pusat kesihatan, masjid, sekolah dan balai bomba dan penulis difahamkan sebuah stesen baru untuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala-Lumpur ke Singapura turut terletak dikawasan tersebut.

Kami daripada Koperasi Sawasa Pulai Berhad (KOSAWASA) bersama-sama dengan beberapa buah koperasi yang lain telah dijemput oleh pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Johor untuk membuat lawatan ke kolej kediaman UTHM Kampus Pagoh bagi turut menyaksikan suatu Majlis Perjanjian Pembiyaan Antara Koperasi UTHM Berhad dengan Bank Rakyat serta Perjanjian Penyewaan Antara Koperasi UTHM Berhad dengan UTHM.


Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr Wahid Razzaly, Ketua Operasi Perniagaan Bank Rakyat, Datuk Amirudin dan Pengerusi Koperasi UTHM Berhad, Prof Madya Dr Razali Hassan.

Dalam perjanjian tersebut Koperasi UTHM Berhad memperolehi RM148 juta pembiyaan daripada Bank Rakyat untuk membeli sebuah kompleks kediaman pelajar yang dibangunkan oleh pihak swasta manakala dalam perjanjian penyewaan, Koperasi UTHM menyewakan kembali kompleks kediaman pelajar yang telah dibeli kepada pihak UTHM.



Dalam perkembangan yang lain, pihak ANGKASA pula sedang merancang untuk membangunkan pusat cafe baru di tanah lapang yang terdapat di kawasan kolej kediaman pelajar UTHM yang akan mengandungi beberapa ruang perniagaan kecil, dimana ANGKASA bercadang untuk menyewakan kepada koperasi yang berminat untuk menjadi operator bagi pusat cafe tersebut. Ini adalah berikutan ketidakupayaan cafe yang telah sedia ada untuk menampung keperluan pelajar dalam penyediaan makanan dan minuman berikutan kemasukan pelajar baru yang ramai.




Ini menunjukkan kepada kami bahawa tidak mustahil untuk mana-mana koperasi untuk berjaya dalam perniagaan seperti yang telah dibuktikan oleh Koperasi UTHM Berhad dan pada masa yang sama dapat memberikan pulangan yang baik kepada ahlinya.




No comments:

Post a Comment