Monday, 29 January 2018

Warung Saga - Tempat Sarapan Sedap di Johor Bahru


Pengenalan

Warung Saga telah dibuka pada tahun 1986 oleh pemiliknya dan pengasasnya iaitu Allahyarham Ismail bin Safri. Warung ini mengambil nama sempena pengeluaran jenama kereta pertama Malaysia iaitu Proton Saga. Walaupun pemiliknya telah meninggal dunia lebih kurang sejak beberapa tahun yang lalu iaitu pada pertengahan Disember 2015, namun keunggulan Warung Saga masih tetap dipertahankan dan legasi Allayarham tetap teguh berdiri dan diterajui oleh pewarisnya yang hebat.

Warung Saga terletak di Jalan Mahmoodiah berhampiran dengan persimpangan Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. Bagi warga bandaraya Johor Bahru, Warung Saga merupakan salah satu tempat yang sangat popular untuk dikunjungi bagi menikmati sarapan pagi.

Keunikan Warung Saga

Warung Saga telah terpahat sebagai jejak warisan Iskandar Puteri kerana memiliki keunikannya yang tersendiri seperti mempamerkan foto tokoh-tokoh sejarah negeri Johor seperti koleksi foto Sultan-Sultan Johor dibawah pemerintahan kesultanan Johor Moden bermula daripada Baginda Temenggong Daeng Ibrahim sehingga kini, koleksi foto Menteri-Menteri Besar Johor, koleksi foto bangunan dan tempat di Johor Bahru pada zaman dahulu, koleksi seniman dan pelakon tanahair pada waktu dahulu dan berbagai-bagai koleksi foto-foto lama dan klasik yang lain.





Selain daripada itu, pengunjung boleh juga melihat koleksi piring-piring hitam penyanyi-penyanyi dahulu yang digantung dan disusun dengan menarik. Juga tidak ketinggalan pengunjung dihiburkan dengan siaran radio yang disalurkan melalui sebuah koleksi jenis radio zaman dahulu dimana penulis sendiri belum pernah melihat diwaktu kecil.



Menu Sarapan

Warung ini beroperasi dari hari Sabtu sehingga Khamis manakala ditutup pada hari Jumaat. Di Warung Saga, menu tetap harian yang dihidangkan untuk sarapan pagi adalah merangkumi jenis makanan Melayu yang utama seperti berikut ;

1. Lontong Kuah
2. Nasi Lemak
3. Mee Goreng
4. Lontong Kering
5. Tauhu Goreng 
6. Kuih Muih beraneka jenis

Manakala bagi hari-hari tertentu terdapat satu lagi menu tambahan yang istimewa;

1. Laksa Johor pada setiap hari Sabtu
2. Mee Rebus pada setiap hari Ahad
3. Mee Siam Singapura (Berkuah) pada setiap hari Isnin
4. Laksa Nyonya pada setiap hari Selasa
5. Mee Sup Sambal Belacan pada setiap hari Rabu 
6. Soto pada setiap hari Khamis.

Makanan apa yang sedap?

Lain tekak lain seleranya, namun secara peribadi saya amat gemar menikmati hidangan Lontong Kering dan Mee Goreng. Selalunya jika tiba lewat kira-kira jam 9.30 pagi, Mee Goreng boleh dilupakan kerana sudah pasti kehabisan. Mee Goreng suatu menu yang simple tetapi pada saya ianya memiliki suatu resepi yang rahsia dimana keenakannya sukar untuk ditutur dengan kata-kata dan yang pasti ianya mesti menggunakan air rebusan kerana gorengannya agak lembab.



Bagi hidangan Lontong Goreng pula, ianya mengandungi Nasi Himpit, Sambal Goreng, Sambal Kacang, Sambal Tumis dan boleh membuat pilihan kuah Rendang Ayam ataupun Daging Lembu. Apa yang membuat saya 'jatuh hati' dengan Lontong Kering ini adalah tentang kuah kacangnya dimana kacangnya dikisar dengan halus dan anda boleh menikmati kuah tersebut tanpa perlu 'menggigit' kacang yang tidak hancur kerana kacang yang kasar dalam kuah bukan kegemaran saya.

Lain-lain menu juga mempunyai rasa sedap yang tersendiri kerana yang penting di Warung Saga ini kesedapan kuah adalah menjadi daya tarikan utama kerana pemiliknya sentiasa mengekalkan rasa, kepekatan yang bersesuaian dan mutu dalam penyediaan kuah bagi mengekalkan kepuasan dan keenakan untuk dinikmati oleh pelanggan yang berkunjung.

Penutup/Kesimpulan

Pada pendapat penulis walaupun pada hari ini terdapat berbagai warung dan restoran yang wujud di bandaraya Johor Bahru dan kawasan di persekitarannya, namun Warung Saga tetap mempunyai tarikannya dan berada didalam kelasnya yang tersendiri. Walaupun Warung ini tidak ada papan tanda dan pengiklanan yang besar, namun kunjungan pelanggan pada tiap-tiap hari amatlah memberangsangkan sejak bertahun lamanya.

Banyak faktor yang menyumbang terhadap pengekalan ini. Di antaranya adalah tentang pengekalan mutu dan rasa dan dijual pada harga yang amat munasabah, lokasi yang strategik iaitu berhampiran dengan Hospital Sultanah Aminah, Wisma Persekutuan dan kawasan perumahan Saujana dan banyak lagi.

Bagi yang ingin mengunjungi bandaraya Johor Bahru, pastikan anda tidak ketinggalan untuk singgah bersarapan di sini, tapi pastikan jangan lewat...nanti menyesal sebab dah kehabisan. Selamat Menjamu Selera!


4 comments:

  1. Sedap n harga mampu bayar ni...

    ReplyDelete
  2. retro tmpat dia..mknan pun nampak sdap..:)

    ReplyDelete
  3. saya suka makanan johor lontong & soto tapi sshnya nak cari makanan tu dekat utara nie

    ReplyDelete
  4. Menarik Warung Saga ni.. klu ke JB nnti teringin juga nak singgah ke sini. Thanks sharing info ni :)

    ReplyDelete