Friday, 5 October 2018

Literasi Media : Menghindar Masyarakat daripada Fitnah di Media Sosial dan Applikasi Komunikasi



Pendahuluan


Perkembangan Media Sosial dan Teknologi Komunikasi bergerak sangat pantas dan trend terkini memperlihatkan masyarakat menjadikan platform ini sebagai sumber berkomunikasi utama sebagai sumber rujukan informasi terkini.

Media Sosial yang dimaksudkan oleh penulis adalah yang popular seperti Facebook, Twitter dan Instagram manakala Teknologi Komunikasi adalah seperti applikasi Whatsapp dan WeChat. Ada sebahagiaan pengguna berlumba-lumba menjadi 'First Informer' bagi menyampaikan maklumat terkini manakala sebahagiaan yang lain pula sewenang-wenangnya berkongsi maklumat sehingga ianya menjadi 'viral' dalam tempoh masa hanya beberapa detik.


Masing-Masing ghairah berkongsi apa sahaja maklumat di media sosial dan applikasi komunikasi tanpa memastikan sesuatu berita itu benar-benar sahih ataupun sebaliknya, Kadangkala lebih memburukkan jika tindakan ini membuka kepada pelbagai ancaman kepada isu agama, bangsa, politik, skandal, jenayah siber dan integriti individu. Berdasarkan perkembangan ini, seharusnya sudah tiba detiknya untuk masyarakat kita untuk mempunyai pengetahuan dan kebolehan mengenai LITERASI MEDIA

Apakah yang dimaksudkan sebagai Literasi Media?

Literasi Media merujuk kepada keupayaan dalam mengakses, memahami, menganalisa dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat, juga kematangan masyarakat sangat diperlukan dalam mengendalikan platform media tersebut.

Kematangan ini perlu ada pada setiap individu namun tidak dinafikan ianya sedikit sukar disebabkan perbezaan faktor usia, lokasi individu sama ada di bandar ataupun di pendalaman, tahap akademik serta tahap penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat. Tahap literasi media yang baik dapat membantu masyarakat membuat perbandingan sesuatu berita dengan merujuk kepada sumber-sumber rujukan lain sebelum membuat andaian dan menyebarkannya.

Literasi Media kepada pengguna media sosial sangat diperlukan bagi mengelakkan ;

  • Panik dan kekacauan serta sikap prejudis
  • Berprasangka buruk dan tuduh-menuduh
  • Perbalahan dan Fitnah
  • Dihukum tanpa usul periksa
  • Tiada peluang untuk membela diri
  • Mengaibkan dan memburuk-burukkan pihak lain
  • Penyebaran berita palsu.
  • Terpedaya dengan jenayah siber dan 'scammer'


Literasi Media menurut pandangan Islam

Sebenarnya didalam Islam telah terdapat garis panduan iaitu dengan menggunakan Fiqh Tabayyun iaitu tapisan/saringan sebelum sebar. Namun penggunaan Fiqh Tabayyun ini masih kurang dipedulikan walaupun pengetahuan tentangnya sudah ada dalam kebanyakan umat Islam. Yang menjadi dukacita apabila sesuatu maklumat yang tidak sahih terus dipercayai sehingga berlaku salah faham terhadap agama sendiri dan kadangkala melarat sehingga berlakunya perpecahan bangsa. Tidak kurang juga telah berlaku banyak kerugiaan kepada orangramai dalam bentuk wang ringgit akibat terpedaya dengan penipuan yang dilakukan oleh penjenayah siber dan scammer.

Diantara saranan Fiqh Tabayyun adalah seperti berikut ;

  • Tidak terburu-buru dalam menyebarkan sesuatu maklumat
  • Fikir, Tangguh sebelum dikenal pasti maklumat sahih
  • Tidak menyebarkan berita negatif, umpatan dan gosip
  • Melakukan penyelidikan daripada beberapa sumber rujukan lain
  • Tidak sebar berita aib, gambar memalukan dan gambar yang mengguris perasaan (walaupun benar)
  • Perlu rujuk kepada pihak berkuasa ataupun pusat informasi bagi mendapatkan pengesahan.


Penutup

Kemerdekaan negara yang kita telah kecapi selama lebih 60 tahun yang lalu bukanlah membawa maksud kita bebas untuk melakukan tindakan apa sahaja, tetapi sebenarnya kita perlu belajar untuk mendidik minda kita supaya segala tindak-tanduk kita adalah penuh dengan rasa tanggungjawab dan menurut panduan yang berlandaskan agama, budaya dan undang-undang negara.

1 comment:

  1. Selagi belum kiamat, fitnah sentiasa ada tak kira zaman teknologi canggih atau tidak.

    ReplyDelete